August 27, 2013

Vol. 1: Surat Untuk Anak


To: Anak
From: Ibu


Assalammualaikum anak ibu. Terus sihat dalam rahim ibu hingga tiba masa kita bersua di dunia nanti. InsyaAllah dengan izin Allah. Dah lama rasanya niat dalam hati ini nak catit serba serbi tentang kisah awak di dalam rahim ibu ni tapi ibu pendam dek kerana bimbang masanya terlalu awal. Alhamdulillah syukur kepada Allah, sudah hampir 7 bulan awak membesar di dalam perut ibu. Jadinya ibu harap tidak keterlaluan kiranya ibu memulakan coretan-coretan paling indah seorang ibu yang harapnya suatu hari nanti dapat dikongsikan bersama kamu wahai si anak.


Ibu mendirikan rumahtangga dengan baba 21 December 2012. Dengan sekali lafaz, ibu sah menjadi isteri kepada lelaki paling ibu cintai secara mendalam, selalu, sentiasa dan tak pernah tak ada. Itulah baba. Lelaki baik yang insyaAllah milik kamu jugak wahai anak. Kita kongsi kasih sayangnya nanti ye anak. InsyaAllah kamu sangat bertuah punya seorang ayah sangat penyayang, lembut pertuturan dan budi bahasanya dan yang paling penting tak pernah meninggikan suara sekalipun dengan ibu. Semua suami adalah yang terbaik di mata setiap isteri dan harapnya baba juga akan menjadi seorang ayah yang terbaik di mata kamu. Sanjunglah baba seperti mana dia menyanjungi kasih sayang yang ada antara kita bertiga. 


Harapnya ibu dan baba mampu menjadi ibu bapa yang terbaik untuk kamu wahai si anak sebagai mana tingginya harapan kami ke atas kamu agar terus sihat di dalam rahim ibu selama tempoh yang dijanjikan Allah untuk kamu, akan membesar dengan sihat dan bijak sebagai harta dunia dan akhirat yang ibu dan baba punya. Amin


28 MARCH 2013
Selain tarikh keramat ibu dan baba disatukan menjadi isteri yang sah, tarikh di atas ini jugak merupakan tarikh teramat bahagia untuk kami berdua. Sekitar jam 10 malam, ibu tersenyum gembira menyambut kehadiran kamu di dalam rahim ibu. Saban hari ibu berdoa agar dikurnikan rezeki anak dengan kadar segera. Alhamdulillah, Allah kabulkan doa ibu dan baba. 


Masa ibu tunjukkan pregnancy test result ni pada baba, baba tengah makan cococruch sambil tengok tv dengan atok saba. Segar dalam ingatan, baba super excited bangun pelok ibu. Baba menangis kegembiraan. Baba peluk atok. Baba, ibu dan atok tiga-tiga menangis kegembiraan. Tak henti-henti atok dan baba panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah. Wahai si anak, kami tersangatlah menanti kehadiran kamu dalam kehidupan sederhana kami. Melengkapkan apa yang kurang, menambahkan lagi kasih sayang yang ada antara kami sekeluarga. 


Perkabaran gembira ni Baba tak buang masa kabarkan pada Tokwan dan Atok Nab di kampung. Semua ahli keluarga kita baba call berkongsi berita gembira sambil air mata tak putus-putus mengalir di pipi botox baba tu. Ibu hanya diam sambil menikmati perasaan terpaling indah yang Allah pinjamkan pada ibu iaitu naluri keibuan yang sedikit demi sedikit mengalir di dalam setiap urat saraf diri, perasaan gembira dapat menggembirakan hati suami, jiwa yang tenteram teramat menerima anugerah Allah yang memang tidak ternilai harganya. Indah. Sampai tak mampu berkata apa.


Kalau boleh satu dunia mahu kami kabarkan berita gembira tentang kamu wahai si anak. Bukan mahu mendabik dada menyatakan pada dunia yang kami sedang berbahagia tetapi tujuan berkongsi berita gembira ini niatnya hanya mahukan limpahan doa dari semua agar dikirimkan doa supaya kamu terus-terus sihat di dalam rahim ibu, dijauhkan dari sebarang kesulitan dan dipermudahkan urusan kehamilan ibu. Itu sahaja. Harapnya hingga ke hari ini, kamu sentiasa di bawah lindungan Allah sampai kapan pon. Amin


Amboi panjangnya coretan pertama ni. Di sini dulu ye wahai anak. Nanti ibu sambung lagi. Tentang betapa indahnya perasaan ibu dan baba tatkala pertama kali melihat kami di dalam rahim ibu. InsyaAllah di coretan seterusnya nanti.


Sihat-sihat ye anak. Ibu penuh sabar menanti kamu di sini.
^____________^



Ikhlas,
-Ibu-


No comments: